Monday, July 18, 2022

Perbahasan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Perhutanan Negara 1984

Perbahasan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera YB Wong Hon Wai pada 18.07.2022.

Video here: https://fb.watch/e-bG6Ji9cu/

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya turut ingin menyertai perbahasan berkenaan dengan rang undang-undang meminda Akta Perhutanan Negara 1984.
Fasal 6 berkenaan dengan Hutan Taman Negeri (State Park Forest) ditambahkan sebagai satu pengelasan baharu bagi Hutan Simpan Kekal dijadikan 12 pengelasan. Saya mengalu-alukan fasal 6 kerana ia merupakan satu pengiktirafan terhadap hak negeri di mana Hutan Taman Negara (National Park) diuruskan oleh Persekutuan dan Hutan Taman Negeri (State Park) diuruskan oleh negeri supaya mengekalkan state sovereignty untuk negeri- negeri.
Seksyen 11, 12 dan 13 menetapkan prosedur pengeluaran kawasan tanah dari Hutan Simpan Kekal. Prosedur yang dicadangkan di mana satu siasatan awal dilakukan oleh pihak berkuasa negeri sebelum pengeluaran mana-mana kawasan tanah dari Hutan Simpan Kekal.
Pada hemat saya Tuan Yang di-Pertua, walaupun terdapat cadangan prosedur siasatan awam tetapi itu belum mencukupi, perlu ada publisiti awam, bantahan awam kerana tambahan prosedur awam ini subject to abuse, salah guna sekiranya pihak berkuasa negeri tidak menjalankan dengan prosedur yang sepatutnya. Saya menegaskan bahawa kepentingan awam menuntut supaya Hutan Simpan Kekal sebagai tempat tadahan air begitu penting dan perlu ditambah lagi klausa di dalam pindaan ini supaya kelulusan usul di bawah Dewan Undangan Negeri perlu ditambah supaya additional procedure safeguard untuk melindungi Hutan Simpan Kekal.
Pihak berkuasa negeri hanya bermaksud EXCO atau State Cabinet yang terdiri daripada lebih kurang 10 orang dari kerajaan negeri tetapi usul di Dewan Undangan Negeri mewakili keseluruhan daripada kerajaan negeri dan pembangkang dan mewakili kesemua kerusi dalam negeri dan suara rakyat. Oleh itu, saya mencadangkan tambahan seksyen 11 di para ketiga bahawa hasil siasatan awam dibentangkan sebagai laporan di Dewan Undangan Negeri dan usul kelulusan DUN perlu diadakan sebelum prosedur pengeluaran Hutan Simpan Kekal boleh diadakan. Begitu juga dengan gantian taman Hutan Simpan Kekal, hendaklah juga memenuhi kriteria keunikan biodiversiti hutan yang asal.
Seksyen 15, tambahan increase penalty dengan penjelasan yang baru dan saya ingin alu-alukan klausa tetapi perlu memberikan tambahan sumber peruntukan untuk teknologi baharu drone satellite mapping kepada pegawai-pegawai perhutanan untuk kawal selia terhadap hutan kita.
Seksyen 104 ada dua anggapan, dua presumption yang baru dan ini boleh menguatkan usaha penguatkuasaan terhadap aktiviti pembalakan haram. Tuan Yang di- Pertua, baru-baru ini telah berlaku banjir besar di Baling, negeri Kedah dan telah dibongkarkan bahawa Environment Impact Assessment (EIA) diluluskan untuk Hutan Simpan Gunung Inas diluluskan untuk ladang hutan tetapi on the ground ia menjadi Musang King Durian Plantation. EIA diluluskan untuk pembalakan dan ladang hutan for timber trees dan rubber trees tetapi ditukar oleh tuan punya tanah menjadi Musang King durian trees. Tidak pernah disenaraikan sebagai program ladang hutan development dan bukan jenis spesies pokok. Musang King bukan jenis spesies pokok yang diluluskan penanaman semula untuk ladang hutan oleh Jabatan Perhutanan. Ini satu bukti bahawa prosedur pembukaan hutan yang melanggari undang-undang.
Saya meminta supaya satu siasatan terhadap pencabulan ini dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan. Satu Kertas Putih perlu dibentangkan di Parlimen. Banjir lumpur yang membawa kematian pada 4 Julai dan melebihi 1,000 orang penduduk terpaksa dipindahkan, melebihi 20,000 orang penduduk kampung yang berdekatan yang terancam. Mala petaka banjir lumpur di Baling bukan berlaku secara semula jadi. Kesannya juga di Pulau Pinang, di mana banjir bersama lumpur telah sampai di Kuala Muda di sempadan Kedah dan Pulau Pinang. Ini menyebabkan Loji Rawatan Sungai Dua di Pulau Pinang terpaksa ditutup dan bekalan air bersih ke puluhan ribu isi rumah di Pulau Pinang terjejas selama beberapa hari dan negeri Kedah juga terjejas selama beberapa hari. Apakah terjadi perkara pembukaan hutan tersebut sehinggakan ia menjejaskan begitu luas kesannya, bukan sahaja di Baling, terkesan juga di negeri Pulau Pinang, di mana bekalan airnya telah tergendala, terputus untuk beberapa hari di kawasan-kawasan tertentu.
Dengan ini, saya meminta supaya polisi-polisi moratorium perlu diadakan untuk ladang hutan yang baru di hutan simpan dan Hutan Simpan Kekal di Semenanjung Malaysia. Perlu ada lihat semula dan juga penilaian semula. Tambahan juga, polisi moratorium ada untuk karbon kredit di negeri-negeri perlu diadakan. Masing-masing negeri ada idea yang baru tetapi Kerajaan Persekutuan (Federal Government) begitu lambat dari segi legal framework. Sampai hari ini tidak ada legal framework untuk kawal selia karbon kredit. Itulah masalah yang kita hadapi. Saya dapati bahawa kita tidak ada dasar perhutanan.
Ya, saya akan buat penggulungan, terima kasih. Dasar Perhutanan Negara 2021 menetapkan pengekalan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok. Akan tetapi nampaknya cantik atas kertas tetapi realitinya, pembalakan dan perlombongan yang tidak terkawal serta pembersihan hutan dengan penanaman semula ladang hutan adalah cabaran ke atas pelaksanaan Dasar Perhutanan Malaysia. Oleh itu, saya minta Yang Berhormat Menteri untuk lihat ataupun memberitahu rakyat Malaysia terhadap insiden di Baling tersebut yang bukan sahaja mengancam sumber bekalan air di negeri Kedah tetapi juga di negeri Pulau Pinang. Itu sahaja, Tuan Yang di-Pertua.

No comments: